Maksudnya: Daripada Ibn `Abbas katanya:
Rasulullah s.a.w apabila menghantar tenteranya maka baginda bersabda:
“Keluarlah kamu (medan jihad) dengan nama Allah, perangilah di jalan Allah
sesiapa yang kafir dengan Allah. Jangan kamu melanggar perjanjian, jangan kamu
mengkhianati harta rampasan perang, jangan kamu rosakkan mayat, jangan kamu
bunuh kanak-kanak dan ahli-ahli rumah ibadat”. 1
Maksudnya:Daripada Ibn `Umar r.a. “Seorang
wanita di dapati terbunuh dalam satu peperangan (yang disertai Nabi s.a.w) maka
baginda pun melarang membunuh wanita dan kanak-kanak”. 2
Hadith-hadith di atas adalah antara
hadith-hadith yang menggariskan disiplin mujahidin Islam ketika berada di medan
jihad. Sekalipun Islam mengajak umatnya berperang menegak serta mempertahankan
maruah dan harga diri, Islam tidak mengizinkan umatnya bermaharajalela di medan
peperangan di atas nama ianya peperangan seperti yang kita lihat apa yang
dilakukan oleh kuasa-kuasa jahat terhadap negara-negara yang mereka perangi.
Islam mengawal dan mengajar umatnya, sekalipun peperangan itu adalah
peperangan, namun nilai-nilai keluhuran dan akhlak tetap wajib dituruti dan
dipatuhi. Firman Allah:
Artinya:
“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang
yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah
tidak menyukai mereka yang melampaui batas”. 3
Adalah mudah bagi bagi kita untuk mengamalkan
sikap yang murni dan akhlak yang mulia dalam keadaan biasa dan aman. Ini kerana
suasana aman menjadikan akal dapat berfikir dengan baik serta menguasai diri,
tetapi perkara ini menjadi begitu sukar dalam suasana peperangan. Sekalipun
begitu Islam tetap dengan kemuliaannya. Islam mewajibkan mereka yang berperang
di atas namanya terus beriltizam dengan peraturan dan akhlak sekalipun ketika
di medan perang. Peperangan di atas nama Islam adalah demi untuk meninggikan
kalimah Allah. Juga supaya manusia dapat menerima dan melihat keindahan Islam.
Ini tidak mungkin dengan cara ditumpahkan darah manusia sebanyak-banyak.
Sebaliknya Islam meletakkan peraturan agar dikurangkan nyawa yang terkorban dan
darah yang tumpah. Inilah lambang peradaban Islam yang tiada tolak bandingnya.
Dengan itu, manusia akan menjadi jinak hatinya dengan agama ini. Inilah rahsia
bagaimana Islam dapat berkembang pantas pada zaman kegemilangannya. Negara atau
wilayah yang dimasuki oleh tentera Islam dengan pantas penduduknya akan beriman
dengan ajaran Islam, tanpa sebarang paksaan, sebaliknya akhlak yang dipamirkan
oleh tentera Islam. Tiada paksaan di dalam Islam untuk seseorang beriman dengan
ajarannya. Kepercayaan dan keimanan sesuatu yang tidak mungkin terhasil dengan
paksaan. Keimanan itu bermula dengan hati yang percaya. Sekiranya seseorang
yang dipaksa itu mengucapkan sesuatu dengan lidah, namun jika hatinya tidak
beriman, dia tetap dianggap tidak beriman. Pedang dan senjata tidak mungkin
dapat memasukkan iman ke dalam hati manusia. Namun peranan pedang dan senjata
ialah untuk menghapuskan tangan-tangan yang menghalang iman masuk ke dalam hati
manusia lain.
Untuk itu Islam menetapkan agar pembunuhan
hanyalah di medan perang dan tidak boleh direbakkan ke luar medan. Hanya
dibunuh mereka yang terlibat dengan peperangan. Adapun golongan musuh yang
tidak menyertai peperangan, mereka tidak dibunuh selagi mereka tidak
menzahirkan permusuhan dan penentangan bersenjata. Secara terperincinya, mereka
ialah:
Pertama: Wanita dan kanak-kanak. Antara
dalilnya, hadith daripada Ibn Umar r.a yang disebut di atas.
Kata al-Imam al-Syafi`iy (wafat 204H):
“Tidak diharuskan sesiapapun di kalangan muslimin untuk sengaja membunuh wanita
dan kanak-kanak (dalam peperangan), kerana Rasulullah s.a.w. melarang membunuh
mereka” . 4
Kata Ibn Rusyd (wafat 595H): “Demikian
juga tiada khilaf di kalangan ulama mengenai tidak harus membunuh kanak-kanak
dan wanita selagi mereka tidak terlibat berperang. Apabila wanita turut
berperang, maka dia boleh dibunuh. Ini semua berdasarkan apa yang pasti
daripada Nabi s.a.w. bahawa baginda melarang wanita dan kanak-kanak dibunuh” .
5
Kedua: Orang tua dan orang yang uzur.
Jumhur ulama (majoriti), iaitu Abu Hanifah, Malik, Ahmad dan satu dari pendapat
al-Syafi`iy, menyatakan mereka ini tidak dibunuh, melainkan jika dikhuatiri
terhadap tindakan dan perancangan mereka di dalam peperangan. Dalilnya firman
Allah di atas:
Artinya: “Dan perangilah di jalan Allah
orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas,
sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang melampaui batas”. 6
Dalam riwayat yang dhaif daripada Abu Daud
dikatakan Nabi s.a.w.bersabda:
“Pergilah kamu (ke medan perang) dengan
nama Allah, dengan Allah dan di atas agama Rasullulah!. Jangan kamu membunuh
orang tua yang lemah, kanak-kanak, wanita. Jangan kamu mengkhianati harta
rampasan, himpunkan harta peperangan kamu, buatlah yang elok dan baik,
sesungguhnya Allah sukakan mereka yang berbuat baik”. 7
Sekalipun hadith ini sanadnya dhaif, namun
golongan tua yang tidak membantu peperangan samada dari segi tenaga atau buah
fikiran, tetap tidak wajar dibunuh. Ini dapat diqiaskan kepada wanita yang
tidak membantu peperangan. Kata Ibn Daqiq al-`Id (wafat 702H): “Hukum asalnya
ialah tidak boleh membunuh.
Hanya dibolehkan membunuh demi mengelakkan
kemerbahayaan. Sesiapa yang pada kebiasaan tidak berperang (menentang tentera
Islam) dan tidak berkemampuan untuk berperang maka dia tidak mendatang mudarat
seperti mana mereka yang berperang. Maka hukumnya kembali kepada asal iaitu
mereka itu tidak boleh dibunuh” . 8
Apa yang penting ialah mereka tidak
bertindak membantu peperangan. Oleh itu pasti daripada Nabi s.a.w. juga bahawa
baginda memerintahkan supaya dibunuh Zaid bin al-Summah yang berusia 120 tahun
atau lebih kerana membantu tentera Hawazin . 9
Ketiga: Mereka yang beribadat di
rumah-rumah ibadat. Dalilnya ialah riwayat Ibn `Abbas yang dinyatakan tadi
Kata al-Syaukaniy (wafat 1250H): “Pada
hadith ini dalil bahawa tidak boleh membunuh sesiapa daripada golongan kuffar
yang hanya beribadat seperti paderi kerana mereka tidak memudaratkan kaum
muslimin” . 10
Keempat: Para pekerja dan petani. Jumhur
ulama menyatakan mereka tidak dibunuh. Dalilnya hadith Hanzalah al-Katib r.a.,
katanya:
Maksudnya:“Kami bereperang bersama dengan
Rasulullah s.a.w. , lalu kami melintasi seorang wanita yang dibunuh. Ketika itu
orang ramai berkumpul padanya, lantas mereka memberi ruang kepada baginda
(untuk melihatnya). Baginda bersabda: “Dia ini (wanita tersebut) tidak turut
berperang”. Kemudian baginda mengarahkan seorang lelaki, sabda baginda: “Pergi
kepada Khalid ibn al-Walid, katakan kepadanya: “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w
memerintahkannya dengan sabdanya: Jangan kamu bunuh kanak-kanak (dalam
sebahagian riwayat: wanita) dan `asif (pengambil upah)”. 11
Kata al-Sindiy (wafat 1138H): “Maksud
pengambil upah di sini ialah yang mengambil upah menjaga tunggangan atau seumpamanya,
bukan pengambil upah berperang”. 12 Antara tanda pengambil upah ialah mereka
tidak bersenjata . 13
Mungkin termasuk juga di dalam pengambil
upah ini ialah mereka yang hanya bertugas menyediakan makanan, atau yang
membersihkan kem tentera dan seumpamanya. Selagi mereka tidak bertindak
membantu peperangan, maka mereka tidak dibunuh.
Kelima: Para perwakilan dan diplomat. Ini
berdasarkan hadith Abdullah bin Mas`ud, katanya: Ibn al-Nawahah dan Ibn Uthal
datang kepada Nabi s.a.w sebagai perwakilan Musailamah (al-Khazzab). Baginda
bertanya:
Maksudnya:“Apakah kamu berdua mengakui
bahawa aku ini Rasulullah”. Kata mereka berdua: “Kami menyaksikan bahawa
Musailamah rasulullah”. Sabda Nabi s.a.w: “Aku beriman dengan Allah dan para
RasulNya. Kalaulah aku ini boleh membunuh para perwakilan, nescaya aku bunuh
kamu berdua”. Kata ‘Abdullah bin Mas`ud: “Telah menjadi suatu sunnah bahawa
para perwakilan tidak dibunuh”. 14
Kata Syams al-Haq al-Abadi: “Pada hadith
ini dalil yang menunjukkan haramnya membunuh para perwakilan” . 15
Demikian tingginya nilai tamadun yang
dipegang oleh Islam sejak 1400 tahun lebih yang lalu. Ketika dunia belum lagi
celik dan mengenali batasan-batasan peraturan dan hak asasi, Islam telah menggariskan
peraturan dan hak dalam persoalan peperangan dan hubungan antarabangsa. Bukan
sekadar atas nama kemanusiaan dan ketamadunan, bahkan atas nama agama yang
membabitkan persoalan halal dan haram serta perhitungan pada hari kiamat. Ini
semua adalah bukti bahawa tuduhan Islam sebagai agama ganas dan tidak
berperikemanusiaan adalah palsu dan bohong. Tuduhan yang tidak berpijak di atas
teks Islam yang sebenar. Islam sebenarnya telah mendahului tamadun dan
peradaban yang wujud pada hari ini.
--------------------
- 1- Riwayat Ahmad, kata Ahmad Muhammad Syakir ketika mentahqiqkan musnad Ahmad, hadith ke-2728: “Sanad hadith ini hasan”
- 2- Riwayat al-Bukhari dan Muslim
- 3- Surah al-Baqarah: 190
- 4- al-Syafi`iy, al-Umm (Dar al-Ma’rifah, Beirut) 4/239.
- 5- Ibn Rusyd, Bidayah al-Mujtahid (Dar al-Fikr, Beirut) 1/280.
- 6- Surah al-Baqarah: 190.
- 7- Riwayat Abu Daud sanadnya dha`if.
- 8- Ibn Daqiq al-`Id, Ihkam al-Ahkam (Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Beirut) 4/184.
- 9- Syams al-Haq Abadi, `Aun al-Ma’bud, jld 7, m.s. 196, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Beirut
- 10- Al-Syaukaniy, Nail al-Autar (Dar al-Jil, Beirut) 8/74.
- 11- Riwayat Abu Daud, Ibn Majah dan Ahmad. Sanad Ibn Majah adalah sanad yang sahih. Al-Albaniy juga di dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah (hadith ke-701) menyatakan sahih. lihat: 2/314, (Maktabah al-Ma`arf li al-Nasyr, Riyadh)
- 12- al-Sindiy, Syarah Sunan Ibn Majah (Dar al-Ma’rifah, Beirut) 3/380.
- 13- `Aun al-Ma’bud, 7/236.
- 14- Riwayat Abu Daud, Ahmad, al-Bazzar, Abu Ya’la kata al-Haithamiy (wafat 807H):Sanad-sanad mereka adalah hasan. Lihat: al-Hathaimiy, Majma’ al-Zawaid (Dar al-Rayyan, Beirut) 5/314.
- 15- `Aun al-Ma’bud, 7/314
0 Komentar:
Posting Komentar